fbpx

K2

Seerah influencer cantik kuasai bahasa Inggeris menerusi game

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seerah boleh dianggap sebagai ratu live streamer game di Malaysia.

NAMA Seerah Mahir, 32, barangkali bukanlah satu nama asing dalam dunia e-sukan negara, khususnya sebagai livestreamer bagi permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile.

Aksi permainan Seerah atau nama sebenarnya Kartika Asirah Mahir tatkala menyingkirkan pemain lawan dalam PUBG yang dipertonton secara live menjadikan namanya dikenali, sehingga pernah tersenarai sebagai Top 5 Influencer Esport Terjago dalam Anugerah Esukan Malaysia 2024.

Siapa sangka, aktiviti yang dibuat hanya sekadar mengisi masa terluang itu kini berjaya melayakkan namanya tercalon anugerah, selain menjadi sumber pendapatan sampingan suri rumah sepenuh masa itu.

Berkongsi dengan K-Remaja, ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkata, minatnya terhadap permainan game bermula sejak kecil, dek kerana terpengaruh melihat adik beradiknya yang lain yang juga gemar bermain game.

“Pendek kata, pengaruh itu datang daripada ahli keluarga memandangkan ‘circle’ keluarga saya semuanya minat bermain game. Namun untuk saya, ia cuma sekadar mengisi masa lapang dan bukanlah sesuatu yang saya buat secara serius.

“Tapi saya akui seronok, lebih-lebih lagi apabila aktiviti itu juga membantu penguasaan bahasa Inggeris saya menjadi baik sejak di sekolah rendah,” katanya.

Ujar Seerah, setiap kali bermain game di rumah, sebuah kamus dwibahasa akan menemaninya yang menjadi sumber rujukannya dalam menterjemah perkataan yang dilihat di skrin komputer.

Membuka bicara tentang penglibatan dalam bidang e-sukan sebagai streamer, Seerah memberitahu ia bermula pada 2020, ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.

Memandangkan ketika itu masing-masing terperangkap di rumah, Seerah menggunakan peluang itu untuk terlibat sebagai streamer dan bermain game seperti PUBG dan Mobile Legends.

Livestreamer merujuk kepada aktiviti merakam diri sendiri bermain game yang seterusnya disiarkan secara live kepada penonton online.

Keperibadian Seerah yang merupakan seorang introvert juga menjadikan dirinya seronok melakukan aktiviti itu, memandangkan dia tidak perlu berjumpa dengan orang secara berdepan dan hanya perlu berinteraksi secara virtual.

“Memandangkan bermain game sudah menjadi hobi sejak kecil, maka saya memilih untuk bermain game dan fokus terhadap livestreaming sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pernah juga saya cuba bermain game personal computers (PC) dan juga konsol, namun saya mendapati tontonannya agak sendu kerana penonton saya lebih gemar melihat saya bermain PUBG dan Mobile Legends,” tuturnya.

Seerah turut dijemput tampil sebagai penyampai anugerah dalam satu program.

Sepanjang hampir lima tahun terbabit dalam industri e-sukan sebagai streamer, Seerah berkongsi memori terindahnya setakat ini adalah apabila dia berpeluang menjadi penyampai anugerah bagi Tournament MPLMY Season 13 Grand Final pada 2024 yang merekodkan jumlah penonton seramai lebih 630,000.

“Itu kali pertama saya berpeluang naik pentas anugerah yang sangat besar maknanya bagi saya.

“Selain itu saya juga berpeluang pergi ke Singapura dan dilantik sebagai Brand Ambassador Homebois SG untuk Media Day MPL Singapore.

“Untuk makluman, pasukan Homebois adalah pasukan e-sukan yang sudah lama saya minati dan segani. Apabila terpilih menjadi sebahagian daripada pasukan itu, saya rasa ia satu kenangan yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Pengalaman berkecimpung dalam bidang e-sukan sebagai seorang wanita, isteri dan ibu datang dengan cabarannya tersendiri.

Biarpun berjaya membuktikan kehebatan sebagai streamer, namun penampilan hijab Seerah yang unik menjadi bahan kritikan netizen, bahkan ada yang meninggalkan komen keterlaluan dengan menyifatkan wanita itu bukan seorang isteri dan ibu yang baik apabila memilih untuk bersiaran secara langsung hampir setiap malam.

Wanita cantik itu mengaku pada mulanya komen-komen tersebut menjadikan dia sedih dan tertekan, namun akhirnya memilih untuk tidak membiarkan komen tersebut membuat dia terus down.

“Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa niat utama saya menjadi streamer adalah untuk mencari rezeki buat keluarga kecil saya dan tidak sesekali ambil pusing terhadap komen-komen negatif orang luar memandangkan mereka tidak penting dalam hidup saya.

“Fokus saya adalah terhadap suami dan anak-anak yang sentiasa memberikan sokongan terhadap apa yang saya buat,” katanya.

Mengakhiri bicara, Seerah turut berkongsi harapannya sebagai seorang peminat industri e-sukan negara agar industri itu terus berkembang dan melahirkan lebih ramai bakat tempatan di masa akan datang.

“Saya harap perkembangan industri e-sukan ini sedikit sebanyak dapat jadi pendorong untuk pembangunan teknologi tempatan, sebagai contoh pembangunan game buatan Malaysia yang padu dan games equipments buatan Malaysia yang mendapat tempat di hati pemain dalam dan luar negara.

“Selain itu, saya harap akan ada lebih banyak lagi kejohanan besar dianjurkan Malaysia untuk menarik minat peminat e-sukan di peringkat global. Ini sekali gus bagus untuk bantu jana ekonomi negara,” katanya.

Dia turut meninggalkan pesan buat anak muda yang barangkali mahu menjadi streamer sepertinya untuk sentiasa mengutamakan ilmu, memandangkan ia sentiasa menjadi asas penting untuk masa depan yang cerah.

“Saya harap adik-adik yang masih bersekolah supaya habiskan belajar dulu, memandangkan ilmu itu cukup penting. Kemudian, ceburilah bidang yang diingini dan jika e-sukan menjadi pilihan, perlu diingat bahawa kejayaan dalam bidang ini juga perlukan disiplin, usaha keras dan ilmu, bukan skil bermain game semata-mata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI