PETALING JAYA – “Apabila saya melangkah masuk ke rumah Uncle Acai tadi, teringat dan terus terbayang filem P. Ramlee Penarik Beca. Lantai banyak tak bersimen, atap bocor sana sini,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau meluahkan kesedihan tersebut selepas melihat keadaan rumah seorang warga emas, Phoon Kee Wai, 71, atau mesra dipanggil Uncle Acai di Kampung Baru, Pekan Kroh, Pengkalan Hulu di Perak.
“Nak menitis air mata saya melihatnya. Rasa berdosa apabila masih ada rakyat yang sebegini daif keadaannya,” katanya pada hantaran di media sosial.
Asyraf Wajdi berkata, perbualan bersama Uncle Acai menusuk jiwanya dan beliau akan segera membantu warga emas tersebut bagi membaik pulih keadaan rumahnya.
“Seorang penoreh getah buat hati saya benar-benar tersentuh apabila melihat tentang keadaan rumah Uncle Acai, seorang warga emas yang sangat uzur.
“Tergamam melihat rumah kecil serba uzur ini. Tidak terbayang bagaimana Uncle Acai bertahan dalam cuaca tidak menentu dengan keadaan bumbung bocor.
“Insya-Allah kita akan segera membantu. Saya telah berbincang dengan pihak berkaitan untuk memastikan rumah Uncle Acai dibaik pulih dengan segera,” katanya.
Menerusi video yang dikongsikan, Uncle Acai memberitahu dia telah mengisi borang untuk permohonan bantuan sejak dua tahun lalu.
Asyraf Wajdi memaklumkan, beliau akan membantu Uncle Acai dengan membawa perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Tak boleh duduk rumah macam ni, saya tolong. Saya cuba cakap sendiri dengan TPM (Timbalan Perdana Menteri),” katanya pada video itu. – KOSMO! ONLINE