PUTRAJAYA – Kes denggi di Malaysia sehingga Minggu Epidemiologi 4 atau 25 Januari merekodkan sebanyak 5,537 dengan tiga kematian berbanding 14,458 kes dan sembilan kematian bagi tempoh sama pada 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, angka kumulatif direkodkan bagi tempoh terbabit menyaksikan penurunan kes denggi sebanyak 61.7 peratus dan kematian dengan angka 66.7 peratus.
“Penurunan itu adalah hasil daripada usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi, sektor swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta masyarakat yang berganding bahu memastikan persekitara bebas Aedes.
“Jadi, bagi memperkukuh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan denggi melalui pendekatan Whole of Nation, beberapa keputusan telah diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet menangani Denggi.
“Antara langkah itu termasuk semua kementerian, jabatan dan agensi perlu memperkukuh inisiatif sedia ada dalam aktiviti pencegahan dan kawalan denggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi mempengerusikan mesyuarat itu bagi memperkukuh pelaksanaan langkah
pencegahan dan kawalan denggi melalui pendekatan Whole of Nation.
Ahmad Zahid berkata, langkah itu juga turut melibatkan aspek mewujudkan inisiatif baharu berdasarkan kesesuaian melalui pendekatan Whole of Nation dan Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia memberi input teknikal jika diperlukan.
“Kerajaan negeri perlu mengambil maklum dan mempertimbangkan inisiatif projek Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk dilaksanakan di negeri masing masing.
“Usahasama rakan strategik melibatkan kerajaan negeri, sektor awam, swasta dan NGO harus diperkukuhkan sepenuhnya dalam membantu sukarelawan MyCHAMPION COMBI melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi,” katanya.
Katanya, kerjasama antara Bahagian Kawalan Penyakit (BKP) KKM dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) perlu diteruskan dengan menambah baik sistem sedia ada berdasarkan keperluan semasa.
“Langkah itu turut melibatkan usaha meneruskan pengoperasian pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia dengan penambahan 10 lokaliti baharu setiap tahun serta memperluaskan di negeri lain.
“Pada masa ini hanya lapan negeri yang telah melaksanakan iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selain Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan,” katanya. – KOSMO! ONLINE