KLANG – Tindakan dua lelaki menyebabkan kecederaan pengunjung di kedai nombor ramalan ketika bergaduh, dua minggu lalu memakan diri apabila didenda RM1, 800 oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Kedua-dua tertuduh, Leong Pok Wai, 40 dan Yong Chen Dao, 37, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Pok Wai dan Chen Dao didakwa secara bersama dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 41 di sebuah kedai ramalan nombor di Taman Klang Utama kira-kira pukul 4.30 petang pada 18 Januari lalu.
Justeru, mereka dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda boleh sampai RM2, 000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Azamuddin Razak manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Izzat Zulkafli.
Kosmo! Online pada 19 Januari lalu melaporkan kesesakan ketika beratur membeli nombor ekor menjadi punca pergaduhan melibatkan lima individu di sebuah kedai nombor ramalan di Taman Klang Utama di sini dan tular menerusi video berdurasi 43 saat. – KOSMO! ONLINE