IPOH – Kerajaan negeri Perak tidak mempunyai halangan sekiranya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meneruskan kajian berhubung larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang telah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan negeri mengambil berat polemik yang timbul termasuk dalam kalangan parti politik susulan cadangan MBI berkaitan perkara berkenaan.
Beliau berkata, pentadbirannya telah mendapatkan maklum balas daripada MBI yang menjelaskan bahawa cadangan tersebut sedang di peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.
“Dalam hubungan ini, kerajaan negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian tersebut mengikut bidang kuasa MBI yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain pematuhan peraturan minuman beralkohol atau peraturan-peraturan makanan 1985 dan Akta Makanan 1983,” katanya.
Saarani berkata, kajian yang dilaksanakan akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk data demografi serta meneliti secara terperinci penetapan zon bagi pelaksanaan cadangan tersebut berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035.
Beliau berkata, MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang dapat menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan mestilah selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada.
“Oleh itu, pada peringkat ini, perbalahan dan pertikaian tidak sepatutnya timbul kerana ia hanya akan mencetuskan ketegangan dan kekeliruan publik, sebaliknya semua pihak sewajarnya memberi ruang sepenuhnya kepada MBI untuk memperhalusi segenap aspek cadangan berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE