fbpx

9 pengedar dadah RM118 juta kena dakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesemua tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Besar, Sabak Bernam hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SABAK BERNAM – Seramai sembilan lelaki yang terlibat dalam pengedaran dadah bernilai RM118 juta sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Besar, di sini hari ini.

Mereka adalah Low Kian Ming, 49, yang merupakan warga tempatan serta lapan warga Taiwan iaitu Lee Chi-Nan, 29; Chou Chun Hao, 31; Liu Kuang-Hui, 31; Hong Sheng-Bao, 31; Tsenh Yi-Chia, 31; Lin Chung-Hsien, 32; Fang Ming-Che, 34 dan Chu Shao-Hsien, 42.

Kesemua tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Namun tiada pengakuan direkodkan ekoran kes itu dibawah Mahkamah Tinggi.

Kesemua tertuduh didakwa secara bersama-sama melakukan perbuatan sebagai persediaan bagi tujuan mengedar dadah berbahaya iaitu ekstasi dengan anggaran berat 183.7 kilogram (kg) dan erimin 5 seberat 306 di Taman Industri Alam Jaya 2, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor pada pukul 2.20 petang, 16 Jan lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 April depan.

Kosmo! pada 19 Januari lalu melaporkan kegiatan pemprosesan dadah di makmal haram terbesar yang didalangi sindiket antarabangsa sejak bulan lalu tumpas selepas digempur polis.

Siri serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur itu membawa kepada rampasan 832.9 kilogram pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai hampir RM118 juta.

Turut dirampas semasa serbuan adalah 15 pucuk pistol, satu laras sub machine gun dan 900 butir peluru. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI