MELAKA – Kerugian membabitkan jenayah komersial di negeri ini meningkat hampir 64 peratus kepada RM79.3 juta pada tahun lalu berbanding RM48.4 juta bagi tempoh sama 2023.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, kes penipuan menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM73.4 juta diikuti kes pecah amanah sebanyak RM4.9 juta.
“Jumlah tengkapan melibatkan jenayah komersial meningkat lebih enam peratus daripada 1,110 tangkapan pada 2023 kepada 1,179 tangkapan tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Apresiasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2024 dan lafaz ikrar serta perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Md. Nazri berkata, statistik jenayah indeks di Melaka sepanjang tahun lalu menunjukkan trend meningkat sebanyak 16 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurutnya, sebanyak 1,692 kes jenayah indeks telah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas.
“Daripada jumlah itu, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 1,082 kes. Kontinjen Melaka berada di kedudukan ketiga terendah dengan menyumbang hampir tiga peratus kepada jenayah indeks negara jika dibandingkan 14 kontinjen lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE