JOHOR BAHRU – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM75,000, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Khairul Saberi Nyan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Mohd. Khairul yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor didakwa meminta wang rasuah sebanyak RM50,000.
Tindakan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang disyaki terlibat dalam tawaran perniagaan menjual beli minyak diesel tidak wujud.
Perbuatan itu didakwa dilakukan bapa tiga anak itu di JSJK, IPK Johor pada pukul 6 petang, 12 Oktober 2022.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, pegawai polis itu didakwa memperoleh RM10,000 dan RM15,000 daripada individu yang sama masing-masing di sebuah restoran dekat Seri Alam pada pukul 9 malam, 5 Disember 2022 dan di sebuah stesen minyak di sini, pukul 2 petang, 14 Disember 2022.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang anggota polis berpangkat Sarjan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daeah (IPD) Johor Bahru Selatan didakwa menerima dan setuju menerima rasuah RM5,000 daripada seorang wanita, tahun lalu.
Tertuduh, Micheal Anak Umap, 50, tidak mengaku salah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, Micheal didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada seorang wanita berusia 29 tahun bagi mengurangkan ke atas bekas suami wanita terbabit yang sedang disiasat.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Kluang pada 25 Ogos 2024.
Manakala pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa bersetuju menerima RM4,000 daripada individu sama bagi tujuan yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pegawai rendah polis itu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor pada pukul 4.45 petang, pada hari yang sama.
Pertuduhan ke atas mereka dikemukan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Asmah Zainal Arifin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Atuffah Said.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Khairul diikat jamin sebanyak RM12,000, manakala Michael dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000.
Mereka turut dikenakan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah dan lapor diri di Pejabat SPRM Negeri Johor sebulan sekali.
Kedua-dua ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mac depan bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE