PETALING JAYA – Lapan notis kompaun dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap pihak yang terbabit dengan aktiviti di tapak pembuangan sampah haram di sekitar Bukit Bintang semalam.
Notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 susulan operasi bersepadu ke atas tapak pembuangan haram (Illegal Dumping).
Menurut kenyataan DBKL, pihaknya turut mengeluarkan dua notis penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982
Selain itu kata DBKL, empat notis pemberitahuan tentang kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 juga telah dikeluarkan ke atas tapak aktiviti pembuangan tersebut.
“Tapak pembuangan tersebut juga telah diberikan Notis Pemberhentian Kerja (SWO) serta-merta dan tiga buah kenderaan telah dikenakan tindakan sita.
“Kesemua kenderaan yang disita telah di bawa ke Depoh Tunda DBKL, Sentul, Kuala Lumpur,”ujar kenyataan itu.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa.
Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut https://adukl.dbkl.gov.my/. – KOSMO ONLINE