KUANTAN – Seorang wanita warga Indonesia didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah mengemukakan kad pengenalan mengandungi maklumat palsu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Tertuduh, Indah Aryani, 36, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Tertuduh didakwa memberikan maklumat palsu ketika semakan dibuat ke atas kad pengenalan yang dimiliki semasa operasi dijalankan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Pahang atas nama Siti Nor Elyana Binti Abdul Kadir dengan nombor kad pengenalan 020216-12-1556.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPN Pahang, Burhanuddin Hamzah dan Penolong Pegawai Pendakwa, Mohd Nurhisyam Mohd Sofian manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Burhanuddin memohon mahkamah memberikan hukuman berat ke atas tertuduh sebagai satu bentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat di luar sana selain mengambil kira keselamatan dan kedaulatan negara.
Majistret bagaimanapun memutuskan tertuduh didenda RM6,000 dan jika gagal membayar denda boleh dikenakan hukuman penjara 10 bulan.
Terdahulu media melaporkan JPN telah menahan seorang wanita warga Indonesia selepas disyaki memiliki sijil lahir individu lain dan kad pengenalan butiran palsu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kempadang, Kuantan, Pahang, semalam. – KOSMO! ONLINE