ISKANDAR PUTERI – Ikhtiar 16 Pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang mahu pulang ke kampung sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina menggunakan servis sindiket haram tidak berhasil apabila mereka dicekup polis, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kesemua PATI ditahan di kawasan pesisiran pantai sekitar Tanjung Kupang, Gelang Patah kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 22 Januari lalu.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 migran, dua tekong darat serta dua tekong darat yang berusia antara 21 hingga 39 tahun melibatkan 13 lelaki dan tiga perempuan.
“Siasatan awal mendapati tekong darat menerima bayaran RM300 manakala tekong laut dibayar RM150 bagi setiap migran.
“Sementara migran yang mahu keluar Malaysia perlu membayar RM2,000, manakala yang mahu masuk sebanyak RM3,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Tambah Kumarasan, pihaknya turut merampas dua bot fiber, dua enjin bot jenama Yamaha, dua buah kereta serta 16 telefon bimbit pelbagai jenama.
“Kesemua suspek ditahan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 51(5)(b) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 serta Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE