CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan kewujudan taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan MCMC, taktik itu menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan enam digit yang diterima daripada pihak WhatsApp.
“Kod pengesahan tersebut amnya diterima oleh pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp.
“Pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer,” katanya.
Sehubungan itu, MCMC berkata, para pengguna adalah diingatkan agar berwaspada terhadap permintaan kod pengesahan enam digit WhatsApp daripada mana-mana pihak dan tidak sama sekali sekali menyerahkan kod pengesahan tersebut.
“Pengguna juga perlu melindungi akaun WhatsApp dengan pengesahan dua langkah serta tidak sama sekali menyerahkan kata laluan atau PIN bagi peti mesej suara kepada mana-mana pihak dan perlu memastikan kata laluan atau PIN peti suara adalah rumit dan sukar untuk diteka,” katanya.
MCMC berkata, bagaimanapun pengguna yang telah menjadi mangsa pengambilalihan akaun WhatsApp adalah disaran untuk mengikut langkah-langkah seperti di pautan berikut untuk mengambil alih semula akaun WhatsApp yang dirampas.
Jelas MCMC lagi, bagi melindungi diri daripada sebarang kemungkinan perbuatan jenayah, pengguna yang menjadi mangsa boleh membuat aduan kepada balai polis berhampiran.
Laporan juga boleh dibuat kepada SKMM menerusi saluran portal aduan https://aduan.skmm.gov.my, e-mel: [email protected] atau WhatsApp 016-220 6262. -K!ONLINE