SEBERANG PERAI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas kira-kira 36 tan palet kayu pine di dalam dua buah kontena semasa pemeriksaan di Terminal Kontena Buttetworth Utara (NBCT) di sini semalam.
Produk dari China itu ditemui semasa anggota Maqis membuat pemeriksaan kira-kira pukul 5 petang.
Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, pihaknya menggagalkan usaha membawa masuk produk kayu berkenaan selepas mendapati ia tidak mempunyai permit import yang sah.
“Justeru, kita menahan dua kontena yang membawa muatan spesis kayu pine seberat 36,000 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM63,378.79.
“Siasatan mendapati kayu tersebut di dalam 3,600 paket 10 kg setiap satu diimport untuk kegunaan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. – K! ONLINE