BATU PAHAT – Seramai 25 orang anak nelayan yang tinggal di Kampung Sungai Ayam di sini menerima bantuan persekolahan melalui Program Kembali ke Sekolah anjuran SWM Environment Sdn Bhd hari ini.
Semua murid yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Sungai Ayam masing-masing menerima peralatan persekolahan seperi beg, alat tulis dan buku.
Pengurus Besar SWM, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, program SWM Kasih Sampul Merah dan Kembali ke Sekolah ini adalah sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat bagi memastikan agenda kebajikan sebagai keutamaan.
Katanya, pemilihan sekolah ini sebagai penerima bantuan selepas muridnya meletakkan SJKC Chung Hwa Sungai Ayam meraih tempat ke dua dalam pertandingan kutipan barangan kitar semula dalam Program Jelajah Sekolah Angkat Wira Lestari (JESAWIL) Tahun 2024.
“Sekolah ini turut menduduki tempat ke lapan daripada 198 sekolah rendah di negeri Johor yang menyertai Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) walaupun hanya mempunyai 25 orang murid.
“Walaupun berada dalam katagori sekolah kurang murid namun mereka mampu menyaingi sekolah-sekolah lain yang mempunyai kapasiti penuh jumlah pelajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE