PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mengeluarkan ancaman bunuh terhadap pelawak, Harith Iskander dan keluarganya, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek berusia 31 tahun direman sehingga 28 Januari ini bagi membantu siasatan susulan laporan bekas isteri Harith juga pengurusnya, Dr. Jezamine Lim di Balai Polis Dang Wangi Jumaat lalu.
“Dalam kejadian pertama, mangsa dihubungi suspek pukul 11.21 pagi Selasa lalu ketika berada di hadapan premis restoran Semua House, Jalan Bunus 6, Masjid India.
“Lelaki itu mengugut dengan nada kasar dan ingin membunuh pelawak terbabit susulan beliau mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ham.
“Dalam kejadian kedua pukul 3 petang kelmarin, semasa pengurusnya berada di sebuah restoran nasi lemak di Jalan Bunus 6 di sini, beliau menerima mesej gambar pegun anaknya mengandungi mesej berbaur ugutan,” katanya kepada media.
Razarudin berkata, polis turut merampas telefon bimbit suspek yang kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK).
Seksyen 506 KK adalah membabitkan kesalahan menakutkan secara jenayah, manakala 509 KK pula mengenai perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang.
Terdahulu, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) membatalkan persembahan Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter yang dijadualkan berlangsung malam tadi, susulan ancaman terhadap keluarga pelawak terbabit.
Dr Jezamine menerusi satu kenyataan mengesahkan keputusan berkenaan dibuat bersama pengurusan DFP, selain memaklumkan Harith kecewa dengan pembatalan itu kerana persediaan rapi sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu.
Ancaman dipercayai dibuat selepas pelawak berkenaan memuat naik hantaran dalam media sosial mengenai topik ham dan disambut pengikutnya dengan pelbagai komen termasuk didakwa mengaitkan nama Nabi Muhammad SAW.
Rata-rata menyifatkan tindakan Harith sebagai mempersendakan Islam apabila membuka ruang untuk orang lain mempermainkan agama, bahkan sebanyak 16 laporan polis diterima berkaitan isu itu di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE