PETALING JAYA – Seramai lapan pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Port Said semalam.
Menurut kenyataan Education Malaysia Egypt (EME), lima daripada mangsa tersebut cedera ringan, manakala bakinya mengalami kecederaan serius.
“Lima pelajar iaitu Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd. Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon mengalami luka ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Tiga lagi pelajar iaitu Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri, dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi mengalami kecederaan lebih serius dan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut,” katanya hari ini.
Kata kenyataan itu, insiden tersebut mendapat perhatian pihak Universiti Al-Azhar yang turut menghantar pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) kampus Port Said bagi membantu mangsa termasuk pengurusan bersama pihak hospital.
“Setiausaha Pertama (Pendidikan) EME, Ahmad Salehuddin Shafie dan Muhammad Nazirul Mubin Abdul Rahman turut bergegas ke Hospital As Salam Port Said untuk melihat keadaan mangsa,” katanya.
Pada awal pagi tadi, ketiga-tiga pelajar yang dirawat di Hospital As Salam dipindahkan ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut.
EME dalam pada itu menyatakan keprihatinan terhadap insiden yang berlaku dan mendoakan agar pelajar yang terlibat segera sembuh serta diberikan kekuatan sepanjang tempoh rawatan.
“EME juga menasihatkan pelajar agar sentiasa berhati-hati dan waspada dalam menjalankan sebarang aktiviti agar terpelihara daripada sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE