PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat mengesan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan dua beranak termasuk pegawai polis berpangkat tinggi dalam kejadian serangan hendap di wilayah Narathiwat, Thailand.
Suspek dikenal pasti sebagai Abdullah Samok, 30, dan Abdullah Bulat, 40, dipercayai melarikan diri ke negara ini atau bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya berkongsi maklumat risikan dengan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan kelancaran operasi dan anggota di sempadan juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan laporan diterima pada 23 Januari lalu.
“PDRM akan berkongsi maklumat risikan dengan rakan di negara jiran supaya kedua-dua suspek dapat dikesan sekiranya mereka benar-benar melintas masuk ke Malaysia.
“Selain itu, PDRM meningkatkan rondaan di sempadan dan turut diarahkan untuk berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi.
Pada 14 Januari, Leftenan Kolonel Polis Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya, Sarjan Mejar Polis Dome Chuaythewarit terbunuh dalam satu serangan hendap di Jalan Sri Sakhon-Chanae di Tambon Sri Banphot, daerah Sri Sakhon, kira-kira pukul 9.50 pagi.
Difahamkan, Mahkamah Wilayah Narathiwat telah mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-dua suspek pada 17 Januari.
Menurut jurucakap polis Thailand, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai sedang bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand. -KOSMO! ONLINE.