KOTA BHARU – Seorang pelajar tingkatan empat yang lari dari rumah di Pengkalan Chepa di sini kelmarin selepas dipercayai merajuk dengan ibunya dijumpai selamat di Besut, Terengganu hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, remaja itu, Wan Nur Aqilah Wan Zamri, 16, ditemukan dalam keadaan sihat di rumah rakannya kira-kira pukul 6.34 pagi.
Katanya, Wan Nur Aqilah dijumpai selepas remaja perempuan itu menghubungi sendiri ahli keluarga untuk datang mengambilnya.
“Remaja itu dijumpai dalam keadaan selamat dan sihat di rumah rakannya di Besut pukul 6.34 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang pelajar lari dari rumah di Pengkalan Chepa kelmarin dipercayai merajuk selepas ibunya merampas telefon pintar kerana terlalu leka bermain gajet tersebut pada musim cuti sekolah.
Sementara itu, ibu Wan Nur Aqilah, Rohana Yusoff, 51, menyedari anak gadisnya tiada di rumah kira-kira pukul 5.40 pagi.
“Sebelum ini, saya dan suami sudah beberapa kali menasihatinya supaya jangan terlalu kerap bermain telefon musim cuti sekolah.
“Oleh kerana tidak mendengar kata, saya merampas telefon pintarnya. Mungkin dia merajuk dengan tindakan saya dan keluar dari rumah secara senyap-senyap pada pukul 9.30 malam.,” katanya ketika dihubungi semalam. – KOSMO! ONLINE