PETALING JAYA – Seorang pemilik perkhidmatan sewa pakaian pengantin berkongsi insiden malang apabila baju nikah yang disewakan kepada pelanggannya rosak akibat terkena percikan bunga api semasa sesi penggambaran perkahwinan.
Pemilik tersebut, Siti Zabedah, memuat naik hantaran di TikTok untuk memberi peringatan kepada bakal pengantin mengenai risiko penggunaan bunga api semasa majlis atau sesi fotografi.
Dalam hantaran tersebut, dia menunjukkan keadaan baju yang berlubang akibat percikan bunga api.
“Saya kongsikan untuk pengajaran supaya semua bakal pengantin ambil iktibar dan faham risikonya kalau main bunga api. Saya tak salahkan mana-mana pihak. Mungkin ini ujian untuk saya yang buat sewa baju murah-murah ni,” tulisnya di dalam hantaran itu.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai netizen, dengan rata-rata memberikan pandangan serta berkongsi pengalaman serupa.
“Sebab tu saya risau tengok orang main bunga api waktu kahwin. Saya pun akan buat juga nanti, tapi bukan bunga api, lebih baik guna mercun Merdeka. Sekurang-kurangnya tak rosakkan baju,” komen Miss.
“Baru tahu berisiko juga ya kalau guna bunga api untuk penggambaran. Kena beli baju nikah murah sikit lepas ni, baru tak menangis kalau berlubang,” kata Moodyviscacha.
“Saya pun pernah main yang asap warna-warni tu, ingat tak ada percikan api. Akhirnya, berlubang juga baju. Nasib baik bridal tak minta ganti,” ujar NauraHelena. -KOSMO! ONLINE