KOTA TINGGI – Seorang kanak-kanak terpaksa menahan sakit hampir dua jam selepas jarinya tersepit pada tombol pintu yang rosak dalam kejadian berlaku di Felda Sungai Sibol di sini petang hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Yusman Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 6.04 petang.
Katanya, sebanyak sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota dihantar ke lokasi kejadian.
“Mangsa merupakan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun telah tersepit jarinya di dalam tombol pintu yang rosak.
“Pasukan operasi bertindak menggunakan peralatan khas untuk memotong tombol pintu di jari mangsa sehingga dapat dikeluarkan dengan selamat tanpa kecederaan,”katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, operasi ditamatkan pada pukul 7.36 petang.-K! ONLINE