PETALING JAYA – Sejarah baru tercatat dalam sistem pendidikan negara apabila buat pertama kalinya hampir 4.5 juta pelajar sekolah seluruh negara memulakan sesi persekolahan awal tahun menggunakan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR) bermula semalam.
Paling dirasai pastinya murid-murid tahun satu apabila impian mereka untuk merasai sistem persekolahan sebenar tidak menjadi kenyataan, sebaliknya terpaksa memulakan sesi tahun ini dengan belajar secara online dari rumah masing-masing.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami pelajar yang menduduki peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila mereka perlu menghadiri sesi persekolahan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bagi murid tahun satu, walaupun berasa teruja hendak memulakan pembelajaran secara online di rumah, ada antara mereka yang meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat hadir ke sekolah untuk bertemu rakan-rakan dan guru.
Perkara tersebut dikongsi seorang ibu, Amallina Azman, 30, apabila anak kembarnya iaitu Nur Alisya Muhamad Tariq dan Nur Aliya Muhamad Tariq, 7, meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat hadir ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Cochrane Perkasa, Kuala Lumpur.
“Anak-anak memang teruja hendak memulakan sesi persekolahan hari ini (semalam) kerana mereka sudah bosan duduk di rumah. Bagaimanapun, sebaik dimaklumkan bahawa sesi persekolahan perlu dilakukan secara online, mereka mula kecewa,” katanya.
Bagi murid tahun satu SK Jalan Pegoh, Ipoh, Afi Arish Rifqi Afi Roshezry, 7, dia tetap bersemangat untuk memakai pakaian seragam bersama beg dan alat tulis seolah-olah bersedia untuk hadir ke sekolah.
Proses pembelajaran hari pertama Afi Arish Rifqi bagaimanapun hanya berlaku di hadapan skrin komputer riba.
Bapa Afi Arish, Afi Roshezry Abu Bakar berkata, anaknya perlu mengikuti minggu transisi bagi murid-murid tahun satu sebagai sesi pembelajaran awal bermula.
“Dia sangat seronok kerana dapat mengenali kawan-kawan baharu,” katanya.
Dalam pada itu, nada berbeza disuarakan Halimatun Saadiah Hasrizal, iaitu murid tahun satu SK Kota Kuala Muda, Sungai Petani apabila mengakui sedikit kecewa kerana tidak dapat bertemu guru dan kawan baharu.
“Saya hanya berkenalan dengan cikgu dan rakan-rakan WhatsApp, harap lepas ini dapat jumpa semua cikgu,” katanya.
Dalam pada itu, sesi pembelajaran secara bersemuka bagi calon SPM dan STPM di seluruh negara berjalan lancar dengan ramai pelajar tiba awal di sekolah masing-masing.
Tinjauan Kosmo! di beberapa buah sekolah di sekitar Lembah Klang mendapati, guru-guru hadir ke sekolah seawal pukul 6.30 pagi untuk menunggu ketibaan para pelajar dengan setiap pelajar wajib melakukan pemeriksaan suhu sebelum dibenarkan memasuki kawasan sekolah.