PETALING JAYA – Susulan isu pelawak Harith Iskander didakwa membuka ruang mempersendakan agama Islam, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) mengumumkan pembatalan persembahan komedi lelaki itu yang sepatutnya berlangsung esok.
Sehubungan itu, pengurusan DFP memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.
“Pihak Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan dukacitanya mengumumkan pembatalan rancangan komedi oleh Harith Iskander, di bawah siri DFP Punchline, yang dijadualkan pada 25 Januari 2025.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan.
“Terima kasih untuk atas pemahaman anda dan sokongan berterusan,” katanya menerusi sebuah kenyataan.
Selain itu, DFP memaklumkan pembeli tiket boleh membuat pertukaran atau mendapatkan bayaran pulangan sebelum 8 Februari ini.
“Tiket boleh ditukar dengan mana-mana konsert DFP/MPO lain dalam persembahan musim ini.
“Kedua, bayaran balik boleh dibuat melalui kaedah pembayaran asal yang digunakan di masa pembelian.
“Semua pertukaran atau permintaan bayaran balik hendaklah dibuat selewat-lewatnya pada Sabtu, 8 Februari 2025,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, hantaran dalam Facebook dipercayai dimuat naik pelawak berusia 54 tahun memaparkan menu kedai kopi dengan item bernama ‘Ham Sap Kopi’.
Harith dikatakan secara sarkastik menyentuh isu ‘ham’ yang menjadi kontroversi sebelum itu apabila kedai rangkaian serbaneka menjual sandwic ham tanpa sijil halal sah di sebuah pusat pengajian tinggi.
Rentetan itu, ramai individu serta wakil pertubuhan mengutuk tindakannya yang disifatkan biadab, malah Polis Johor juga mengesahkan menerima tiga laporan polis setakat kelmarin. – KOSMO! ONLINE