PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun akhirnya dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh hari ini selepas 11 hari dirawat dan menjalani kuarantin akibat positif Covid-19.
Turut dibenarkan keluar dari hospital hari ini adalah ibunya yang juga disahkan positif Covid-19, sebelum ini.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana bebas dari wabak itu.
“Saya dan ibu kesayangan saya telah sembuh dari jangkitan Covid-19.
“Hari ini, saya dan ibu saya telah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani rawatan dan tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh.
“Sesungguhnya hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu betapa hiba hati saya saat dimaklumkan ibu saya juga positif Covid-19 sehari selepas saya disahkan positif wabak tersebut pada 10 Januari lalu,” katanya.
Katanya, beliau juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah mengutuskan doa agar beliau dan ibunya segera sembuh.
Rina berkata, beliau tidak akan lupakan setiap titik keringat dan jerih payah petugas barisan hadapan terutama pegawai perubatan dan kakitangan Hospital Sungai Buloh yang memberikan layanan mesra sepanjang menerima rawatan di hospital itu.
“Jasa dan pengorbanan kalian tidak akan dilupakan dan tidak mampu dibalas melainkan utusan doa agar semua petugas barisan hadapan terus dilindungi dalam menyempurnakan tugas dan khidmatnya menyantuni para pesakit.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang saya kasihi, jagalah diri, patuhi prosedur operasi standard (SOP) agar setiap dari kita terus dilindungi,” katanya. -K! ONLINE