JOHOR BAHRU – Seorang wanita bersama anak perempuannya ditemui mati di dalam kereta BMW miliknya di hadapan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa berusia 42 tahun dan anak bongsunya, 14, dipercayai mati akibat terhidu gas di dalam kereta ketika enjinnya masih hidup.
“Polis mendapat laporan mengenai kejadian itu pada pukul 10 malam dan mendapati mangsa bersama anak lelakinya mati di dalam kereta BMW. Siasatan mendapati tiada unsur jenayah.
“Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran minyak petrol di bahagian enjin yang menyebabkan berlakunya pemeluwapan dan memasuki saluran pendingin hawa kereta berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU, di sini hari ini.
Balveer Singh berkata, mayat anak beranak itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Menurut Balveer Singh, mangsa bersama anak ketiganya itu pergi membeli-belah di kawasan di Bandar Baru Uda sebelum memberhentikan kereta di lokasi kejadian untuk berehat seketika sebelum pulang ke rumah di Bakar Batu.
“Semakan yang dibuat mendapati mangsa sempat berbalas mesej dengan rakannya menerusi aplikasi Whatsapp mengatakan dia ingin memberhentikan kereta untuk berehat kerana penat dan tak sihat. – KOSMO! ONLINE