BANGKOK – Seorang pemandu keluar dari kereta sport Lamborghini dan melarikan diri selepas kenderaannya berlanggar dengan sebuah trak pikap di wilayah Phitsanulok, utara Bangkok, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Pemandu tersebut dipercayai seorang ahli perniagaan. Dia meninggalkan wang tunai berpuluh-puluh ribu baht di dalam ‘supercar’ bernilai lebih 20 juta baht (RM2.6 juta) itu yang telah remuk.
Polis yang tiba di lokasi kejadian di luar sebuah restoran kira-kira pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) berhampiran tiang elektrik di tepi jalan, menemui kad pengenalan pemandu tersebut di dalam sebuah beg.
Pemandu pikap berusia 32 tahun pula terperangkap di dalam kenderaannya. Mangsa mengalami kecederaan di muka dan bahu sebelum diselamatkan oleh anggota-anggota pasukan kecemasan dan dihantar ke hospital berdekatan.
Polis masih menyiasat kemalangan itu.
Nama pemandu Lamborghini itu tidak didedahkan tetapi saluran televisyen, Channel 7 melaporkan bahawa dia pernah terlibat dalam satu kemalangan berprofil tinggi pada tahun lepas.
Dia dilaporkan merempuh kereta Porsche bernilai 5 juta baht miliknya (RM652,000) pada sebatang tiang elektrik menyebabkan kenderaan itu terbakar tetapi pemandunya melarikan diri tanpa mengalami kecederaan. – AGENSI