GEORGE TOWN – Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kini menduduki tempat kedua tersibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mengatasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).
Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, pada tahun 2024, LTAPP mencatatkan 64,507 pergerakan pesawat, mengatasi 63,822 pergerakan di Kota Kinabalu.
Menurut Hon Wai jumlah penumpang turut mencatatkan peningkatan di mana pada tahun 2024, seramai 7.47 juta penumpang direkodkan dan ia meningkat 7.07 peratus berbanding 2023.
Selain itu, turut dicatatkan pada tahun lalu ialah peningkatan kekerapan penerbangan di LTAPP iaitu sebanyak 565 penerbangan mingguan direkodkan dan ia meningkat 8.03 peratus berbanding tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE