SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 dijangka berjalan seperti yang dirancang dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sesuai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Sebagai rekod, seluruh negara telah menjalani pelaksanaan PKP kecuali Sarawak bermula 22 Januari hingga 4 Februari depan ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19.
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan telah mengadakan mesyuarat dalam talian bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail semalam.
“Dalam mesyuarat bersama itu, MFL dan MSN masing-masing membincangkan serta mengkaji beberapa mekanisme pelaksanaan Liga M musim 2021 dalam tempoh PKP.
“Mesyuarat itu diadakan sebagai usaha memastikan perjalanan kalendar bola sepak Malaysia berjalan seperti dirancang selaras amalan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” kata MFL dalam satu kenyataan semalam.
Tirai Liga M musim 2021 dijadualkan bermula dengan aksi juara Liga Super 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang naib juara Liga Super, Kedah pada aksi Piala Sumbangsih 26 Februari depan.
Musim lalu, saingan Liga M terpaksa ditunda lebih lima bulan susulan gelombang pertama pandemik Covid-19 pada Mac lepas sebelum disambung semula pada Ogos.
Namun, hanya saingan Liga Super dan Liga Premier dilangsungkan tetapi kejohanan Piala Malaysia dan Piala FA musim lepas terpaksa dibatalkan.