KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa sebanyak tiga peratus, sekurang-kurangnya bagi tempoh separuh tahun pertama 2025.
Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group, Firdaos Rosli berkata, ketika pihaknya merasakan OPR akan kekal untuk keseluruhan tahun ini, pada masa sama, beliau yakin OPR kekal sehingga Jun.
“Kami tidak melihat BNM memiliki keinginan untuk segera bertindak ke atas risiko, ada banyak faktor yang memungkinkan OPR kekal seperti kenaikan gaji penjawat awam, gaji minimum lebih tinggi, dan pasaran buruh yang stabil.
“Pada masa sama, terdapat banyak potensi risiko dalam tempoh 12 bulan ke hadapan dan risiko OPR dipotong dilihat lebih ketara berbanding dinaikkan di tengah-tengah trend pelonggaran polisi monetari global.
“Ia bagaimanapun mungkin tidak berlaku sehingga suku tahun ketiga 2025,” katanya.
Sementara itu, Firdaos menyatakan pihaknya optimis dengan potensi pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada paras 4.6 peratus tahun ini, serta 4.4 peratus bagi tahun 2026.
“Risiko kepada pertumbuhan lebih ke arah menurun disebabkan faktor luaran, termasuk potensi gangguan perdagangan daripada dasar perlindungan Amerika Syarikat dan risiko geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat, serta konflik Rusia-Ukraine.
“Berdasarkan latar belakang ini, pertumbuhan dijangka dipacu aktiviti dalam negeri, disokong langkah proaktif kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE