PETALING JAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025, bermula pukul 12.01 tengah malam 27 Januari dan berakhir 11.59 malam 28 Januari.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun 50 peratus dari kadar biasa tol itu bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol.
Menurutnya, bagaimanapun ia tidak melibatkan plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuh Raya Utara Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember lalu.
“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
“Ini didukung oleh kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil daripada program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta. – KOSMO! ONLINE