KUALA LUMPUR – Pelawak dan usahawan popular, Shuib mengakui sudah bersedia untuk menambah cahaya mata tahun ini.
Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, dia berhasrat untuk menimang cahaya mata bersama isterinya, Watie terdetik sewaktu mereka sekeluarga mengerjakan ibadah umrah.
“Watie sebenarnya takut-takut nak beritahu saya yang dia nak anak. Tetapi ketika kami pergi umrah baru-baru ini saya sendiri yang beritahu dia yang saya rasa saya mahukan anak lagi.
“Bila saya cakap begitu, dialah manusia yang paling gembira. Dia beritahu saya, dah lama dia inginkan anak sendiri tetapi takut nak beritahu.
“Anak bongsu saya Ayash Affan pun dah besar. Usia dia sekarang sudah tiga tahun. Dia dah kenal semua orang. Saya rasa inilah waktu yang sesuai untuk tambah zuriat,” katanya kepada Kosmo Online.
Tambah pelakon filem Abang Long Fadil itu lagi, dia turut memikirkan masa depan jika sesuatu berlaku kepadanya satu hari nanti.
“Katakanlah ada sesuatu yang berlaku kepada saya, saya fikir apa yang akan ‘ikat’ anak-anak saya dengan Watie kerana mereka adalah anak tiri.
“Saya fikir jika nanti saya sudah tidak ada lagi di dunia ini, anak-anak jaya mungkin boleh jauh dengan Watie.
“Jika saya ada anak sendiri dengan Watie, sekurang-kurangnya anak itu nanti akan menjadi penyambung silaturahim dengan anak-anak saya yang lain,” jelasnya.
Untuk rekod, Shuib dan Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanafiah, 37, telah mendirikan rumah tangga pada Jun 2023.
Shuib bergelar bapa tunggal selepas isterinya, Siti Sarah Raisuddin meninggal dunia pada Ogos 2021 akibat Covid-19. Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 13, Dzahira Talita Zahra, 11, Ariq Matin, 8 dan Ayash Affan, 3. KOSMO! ONLINE