KLANG – Cubaan menyeludup puluhan kilogram (kg) makanan sejuk beku termasuk daging katak bernilai RM1.4 juta sempena sambutan Tahun Baharu Cina tumpas apabila dirampas pihak berkuasa, bulan lalu.
Kesemua makanan itu dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam empat buah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara di sini, 9 dan 12 Disember lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, kejayaan membanteras penyeludupan itu diperoleh pihaknya yang menjalankan serbuan di dua pelabuhan tersebut.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan pelbagai jenis daging sejuk beku seperti katak, itik, kambing dan dada ayam.
“Turut ditemui, makanan sejuk beku antaranya kuih pau selain dumpling (ladu) udang dan jagung,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini, hari ini.
Menurut Norlela, keseluruhan rampasan seberat 77,059 kg itu dianggarkan bernilai RM1.43 juta termasuk duti cukai.
Ujarnya, kesemua dagangan itu disyaki tidak mempunyai permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam.
Dalam kes berasingan, Norlela berkata, pihaknya merampas 9.7kg tembakau mentah dan kunyah bernilai 1.69 juta termasuk cukai, Oktober serta Nomember lalu. – KOSMO! ONLINE