PETALING JAYA – Sebuah syarikat pastri dan pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan menggunakan logo halal dan cap dagang tanpa kelulusan dalam isu “Ham & Cheese Sandwich” dua minggu lalu
Bagaimanapun tertuduh Ewe Sarn Yeun, 65, dan syarikatnya Shake And Bake Cafe Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd. Nor.
Bagi enam pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan untuk membekalkan 366 produk makanan sandwic membabitkan enam perisa yang diperihalkan dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan orang Islam dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Produk makanan itu membabitkan 50 Mixed Tuna Sandwic; 43 Mixed Potato Sandwic; 77 Mixed Chicken Sandwic; 74 Egg Mayo Sandwic; 66 Ham & Cheese Sandwic dan 56 Chili Crabstick Sandwic.
Semua kesalahan itu dilakukan di Shake and Bake Cafe Sdn. Bhd.di Sunway Damansara, di sini pada pukul 12.50 tengah hari, 10 Januari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 8(b) perintah yang sama yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8(B) Perintah yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, syarikat Shake and Bake Cafe Sdn. Bhd. yang diwakili Sarn Yeun
turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan sama di lokasi, tarikh dan waktu sama mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Oleh itu pendakwaan dikemukakan mengikut Perenggan 8(b) perintah yang sama yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8(A) perintah yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000 jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi dua lagi pertuduhan, Sarn Yeun yang juga berstatus Pemastautin Tetap (PR) Amerika Syarikat dan syarikatnya tidak mengaku bersalah atas masing-masing satu pertuduhan menggunakan cap dagangan berdaftar iaitu logo halal Malaysia yang salah pada 366 bungkusan sandwic di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.
Oleh itu, lelaki itu dan syarikatnya didakwa mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) dan dengan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) akta sama yang boleh dihukum Seksyen 102(1)(i) dan Seksyen 102(1)(ii) akta sama bagi pengarahnya.
Bagi Seksyen 102 (1)(i) akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 manakala Seksyen 102 (1)(ii) akta itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan cap dagang berdaftar itu secara salah, atau penjara tidak lebih tiga atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani manakala tertuduh dan syarikat itu diwakili peguam Hamdan Hamzah dan Azura Mokhtar.
Mahkamah kemudian membenarkan Sarn Yeun dan syarikat Shake And Bake Cafe diikat jamin sebanyak RM130,000 bagi kesemua pertuduhan dengan penjamin warga tempatan, berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tarikh 5 Mac ini ditetapkan sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan bahawa bahan mentah produk Ham dan Cheese Sandwich mempunyai sijil halal.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya menegaskan sekali lagi bahawa pemeriksaan yang dijalankan pada 10 Januari lalu mendapati produk berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), malah syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM.
Terdahulu Shake And Bake Cafe Sdn Bhd. dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata penghasilan sandwic itu menggunakan roti, keju dan kepingan daging ayam yang diperakukan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Syarikat itu juga mengesahkan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jakim sudah melakukan siasatan ke atas premis mereka. – KOSMO! ONLINE