ARAU – Lebih 100 pesawah dari sekitar Perlis berhimpun bagi mendesak kerajaan menaikkan harga belian padi kepada RM1,800 satu tan metrik berbanding harga lantai semasa RM1,300.
Petani mendakwa harga tersebut tidak mencukupi bagi menampung peningkatan kos pengeluaran yang semakin membebankan sejak beberapa musim kebelakangan ini.
Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 62, dari Kuala Perlis berkata kos baja, jentera dan tenaga kerja meningkat lebih 30 peratus, menyebabkan ramai petani mengalami kerugian.
“Kos mengusahakan sawah kini mencecah RM1,300 hingga RM1,500 satu tan sebelum boleh dijual. Jika harga lantai kekal RM1,300 pesawah tidak mampu bertahan,” katanya kepada pemberita di Kampung Banat di sini hari ini.
Seorang lagi pesawah, Hussam Ilias, 50, dari Kampung Padang Besar, Jelempok di Arau berkata, kos operasi untuk mengusahakan kira-kira 14 ekar sawah sudah mencecah RM15,000 satu musim.
“Semua kos meningkat, dari benih hingga kepada upah pekerja. Harga benih sahaja dahulu RM35 sekarang sudah RM58. Jika harga padi tidak dinaikkan, kami sukar untuk terus bertahan.
“Hasil padi juga semakin merosot akibat perubahan cuaca, dengan purata pengeluaran per relung kini menurun kepada hanya satu setengah tan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE