KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menahan 10 lelaki warga Bangladesh dalam serbuan ke atas klinik doktor warga asing di sembilan lokasi sekitar ibu negara, semalam.
Operasi pukul 11.45 pagi itu dilaksanakan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai dari Bahagian Penguatkuasa (Farmasi) Kementerian Kesihatan (KKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ia turut dibantu oleh pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen, JIM Negeri Perak dan Perlis.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dijalankan membabitkan enam lokasi sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin serta dua lokasi di Leboh Pudu dan satu di Jalan Silang.
“Berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya menahan 10 lelaki warga Bangladesh berusia di antara 31 hingga 50 tahun.
“Hasil semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam orang memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua orang telah tinggal lebih masa manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warga Bangladesh yang tidak bertauliah dan mensasarkan warga Bangladesh sahaja.
Menurutnya, kegiatan itu berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Ubat-ubatan yang dijual tidak berdaftar dan tanpa kelulusan KKM disyaki dibawa masuk oleh warga Bangladesh yang datang sebagai
pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.
“Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan dan dipercayai telah beroperasi selama satu tahun,” ujarnya.
Sebubungan itu, Zakaria berkata, JIM telah merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan dan wang tunai sebangak RM800 dipercayai hasil rawatan dan jualan ubat.
“Sebanyak 502 jenis ubat tidak berdaftar turut dirampas KKM dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM265,192.
“warga asing tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952, Perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989, dan Perkara 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” jelasnya.
Katanya, kesemua warganegara asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Dua lagi lelaki warga Bangladesh dan enam perempuan warga Malaysia telah diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE