KUALA LUMPUR – Seramai 9,700 anggota dan pegawai Polis Kuala Lumpur dijangka bertugas bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang berlangsungnya Kepengerusian ASEAN 2025.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa bekata, sebanyak 186 mesyuarat kecil atau besar bakal diadakan di sekitar ibu negara pada April, Mei dan Oktober ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 21 mesyuarat akan diadakan di Putrajaya (di bawah Kontinjen Kuala Lumpur).
“Jadi, sudah pastinya kita akan membuat persiapan rapi termasuk menggunakan keseluruhan kekuatan keanggotaan untuk memastikan keselamatan delegasi serta orang ramai yang berkunjung ke Kuala Lumpur. Jika perlu dapatkan bantuan Bukit Aman atau trafik Kuala Lumpur, kita akan lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sehubungan itu, pegawai dan anggotanya juga diingatkan agar bersiap siaga dalam memastikan Kuala Lumpur sentiasa dalam keadan baik dan selamat.
“Ini bagi memastikan imej ibu negara termasuk Malaysia berada di tahap yang terbaik buat pengunjung dan delegasi yang hadir bagi Kepengerusian ASEAN 2025,” jelasnya.
Malaysia secara rasmi mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur. – KOSMO! ONLINE.