KLANG – Tindakan seorang pemandu van memalsukan maklumat bagi mendapatkan surat beranak untuk bayi lelaki membawa padah apabila didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Majistret Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Lim Tong Leong, 55, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Tong Leong turut diperintahkan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayarnya.
Mengikut pertuduhan, Tong Leong didakwa dengan sengaja mendapatkan sijil kelahiran atas nama seorang bayi lelaki yang mengandungi maklumat ibu bapa yang tidak teratur dan palsu serta menjadi pemaklum kepada pendaftaran kelahiran tersebut.
Perbuatan itu dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Pelabuhan Klang antara pukul 8 pagi hingga 5 petang pada 8 Mac 2011.
Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM2, 000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua -duanya mengikut Seksyen 36 (b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
Berdasarkan fakta kes, semakan awal mendapati terdapat keraguan dari segi irasan wajah bayi lelaki itu dengan tertuduh.
Hasil siasatan kemudiannya mendapati tertuduh mengaku bayi itu bukan anak kandungnya dan isteri tertuduh juga mengaku tidak pernah melahirkan bayi di sebuah klinik pada 2 Mac 2011.
Malah, hasil ujian DNA turut mengesahkan bayi itu bukan anak kandung tertuduh.
Tong Leong tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya dikurangkan sebelum Pegawai Pendakwa JPN, Mohd. Saudi Yusof memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran mangambil kira kekerapan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE