SUNGAI PETANI – Seorang nelayan yang diselamatkan selepas hanyut empat hari memberitahu, dia bersama anak dan awak-awak hanya bergantung pada air hujan untuk bertahan selain tidak sabar untuk bertemu daratan kerana terlalu lapar.
Asrulhisham Zainol, 47, berkata, ketika kejadian pada 10 Januari lalu itu, dia bersama anak, Shahril Aiman, 17, dan awak-awak, Mohamad Amin Suffian, 30, dalam perjalanan pulang selepas merawai ikan tenggiri di Pulau Payar.
Katanya, mereka kemudian terpisah dengan tiga lagi bot nelayan tempatan kerana enjin bot rosak.
“Rangkaian telefon tiada dan kami kemudian melabuhkan sauh dengan harapan rakan lain akan datang membantu. Tali sauh kemudian putus akibat ombak kuat sebelum kami hanyut.
“Tiada nelayan yang kami jumpa kerana mereka tidak ke laut pada Jumaat. Menyesal kerana tidak membawa bekalan makanan,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Batu Melintang,Tikam Batu di sini semalam.
Menurut Asrulhisham, mereka hanya makan ikan tenggiri yang dibakar selain minum air laut dan menadah air hujan. Terdapat 40 ekor ikan tenggiri terpaksa dibuang kerana sudah berbau.
Tambahnya, mereka mula keletihan dan berdoa agar bot dibawa ke mana-mana daratan sebelum terdampar di beting pasir pada pukul 6 pagi. – KOSMO! ONLINE