DUNGUN – Seorang siak Masjid Taman Hadhari, Paka dekat sini menemui ajal selepas terjatuh ke dalam longkang dipercayai akibat tersandung wayar kabel elektrik hari ini.
Mayat Abdul Hamid Mat Zahari, 45, ditemui disembam di dalam longkang itu oleh bilal masjid berkenaan pada pukul 12.50 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, bilal tersebut yang ketika itu baru keluar dari tandas masjid terkejut menemukan mayat rakannya yang berasal dari Kampung Cacar, Paka dekat sini di dalam longkang berkenaan.
“Dia kemudiannya telah memaklumkan penemuan itu kepada jemaah lain sebelum memanggil pihak berkuasa.
“Pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Paka di sini yang bergegas ke lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan Abdul Hamid terjatuh ke dalam longkang tersebut akibat tersandung oleh kabel wayar elektrik berkenaan.
Beliau menjelaskan ia berikutan mangsa ditemui di dalam longkang itu dalam keadaan kedua-dua kakinya terbelit dengan kabel wayar elektrik berkenaan.
“Setakat ini tiada unsur jenayah ditemui dan kematian mangsa telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat,” katanya. – K! ONLINE