KUALA LUMPUR – Misi Kuala Lumpur City (KL City) untuk melangkah ke pusingan separuh akhir Kejuaraan Kelab Asean (ACC) nampak sukar selepas tewas 2-3 kepada wakil Vietnam, Cong Anh Hanoi sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu, skuad Warga Kota terpaksa akur apabila diarah beraksi dengan sembilan pemain selepas Kamal Azizi dan Paulo Josue dilayangkan kad merah pada penghujung saingan.
Pemain sensasi Hanoi, Nguyen Quang Hai terlebih dahulu memastikan pasukan pelawat berada di depan seawal minit ke-10.
Tersentak dengan gol tersebut, KL City memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih jaringan penyamaan menerusi penyudah pemain import, Adrijan Rudovic pada minit ke-24.
Jaringan tersebut menaikkan semangat tuan rumah apabila kini giliran Josue selaku kapten KL City mencetak nama selaku penjaring berselang lapan minit kemudian.
Bersambung pada babak kedua, Hanoi menggandakan asakan dalam usaha memburu gol penyamaan sebelum Bui Hoang Viet Anh menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-67.
Detik kekalahan KL City semakin jelas apabila Kamal dilayangkan kad merah atas kekasaran yang dilakukan pada minit ke-76 disusuli Josue (m-88) selepas mengasari pertahanan lawan.
Kesempatan tersebut digunakan oleh pasukan Hanoi apabila meraih gol kemenangan hasil penyudah Le Van Do pada masa kecederaan untuk meraih tiga mata berharga.
Keputusan tersebut menyaksikan KL City kini meraih enam mata manakala Hanoi mendahului carta Kumpulan B dengan 12 mata. – KOSMO! ONLINE