PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi popular, Bella Astillah sekali lagi menjadi tumpuan netizen apabila kedua-dua mereka dilihat seperti pasangan pengantin kerana segak berpakaian tradisional Melayu mendaki Gunung Kinabalu hari ini.
Menerusi hantaran di Instagram Bella Astillah yang dikongsikan kepada Syed Saddiq, penyanyi asal Sabah itu memaklumkan mereka sudah tiba di Laban Rata selepas hampir enam jam mendaki.
“Alhamdulillah, sampai pun Panalaban atau Lan Rata. Kita naik pukul 10 pagi dan sampai 3.20 petang,” katanya.
Bella juga berseloroh mengatakan Syed Saddiq sebagai ‘Ironman’ kerana dilihat sungguh bertenaga sepanjang pendakian mereka ke Laban Rata.
“Saya separuh sedar sudah sebenarnya (sampai terfikir bagus juga jadi ikan) tapi Syed Saddiq boleh menari, menyanyi dan sewaktu dengannya,
“Oh lupa dia ‘Ironman’ manakala saya hanya biasa ‘iron’ baju. Dia tetap dengan baju Melayu, sampin dan songkok tinggal nak raya sahaja dekat puncak nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE