KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus selepas bermesyuarat semalam.
BNM menerusi siaran akhbar yang dikeluarkan berkata, meskipun pertumbuhan jangka pendek akan dipengaruhi oleh pelaksanaan semula langkah pembendungan Covid-19 yang
lebih ketat pada tahun 2021, kesannya tidak seteruk tahun lalu.
Jelasnya, trajektori pertumbuhan diunjurkan bertambah baik bermula suku kedua tahun 2021 dan seterusnya.
“Hal ini didorong oleh permintaan global yang kembali pulih, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat semula berikutan sokongan berterusan daripada langkah-langkah dasar serta pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan dan perlombongan sedia ada dan baharu.
“Pemberian vaksin pada bulan-bulan yang akan datang juga akan meningkatkan sentimen positif,” katanya.
Mengulas lanjut, BNM berkata, risiko terhadap prospek pertumbuhan menjadi rendah masih wujud.
“Hal ini berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai pandemik dan cabaran yang boleh menjejaskan pemberian vaksin di dalam dan luar negara,” katanya.
Berhubung situasi global, BNM berkata, ekonomi global terus pulih didorong oleh aktiviti perkilangan dan eksport yang bertambah baik meskipun penularan semula kes Covid-19 baru-baru ini dan langkah kawalan yang dilaksanakan telah menjejaskan kegiatan ekonomi dalam beberapa sektor.
“Pelaksanaan program pemvaksinan secara meluas yang dipercepatkan, bersama-sama dengan sokongan dasar yang berterusan, dijangka meningkatkan prospek pertumbuhan global pada masa hadapan.
“Prospek keseluruhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi menjadi lebih rendah terutamanya jika jangkitan Covid-19 menular semula dan inokulasi melawan Covid-19 secara
meluas ditangguhkan,” katanya.
Mesyuarat MPC BNM seterusnya dijadualkan pada 3 dan 4 Mac ini.