fbpx

K2

Hukum orang Islam berpakaian hitam hadir pengebumian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Memakai pakaian berwarna hitam ketika pengebumian tidak dikaitkan dengan sesuatu agama. – Gambar hiasan

BOLEHKAH orang Islam memakai pakaian hitam ketika menghadiri kematian. Adakah ini dibenarkan oleh agama atau tidak?

JAWAPAN: Menurut sejarah, pakaian hitam ketika pengebumian dimula oleh Ratu Victoria pada tahun 1861 iaitu saat kemangkatan suaminya Prince Albert. Beliau mengenakan pakaian ini sebagai tanda kesedihan dan beliau memakainya sehinggalah di akhir usianya iaitu pada 1901.

Semenjak dari itu mengenakan pakaian hitam ketika pemakaman menjadi terkenal kalangan masyarakat Eropah.

Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Awail ila Musamarah al-Awail menyatakan ketika Marwan al-Umawi membunuh Ibrahim ibn Muhammad al-Imam, masyarakat Abbasiyah mula memakai pakaian hitam sebagai tanda kesedihan dan kemudian pakaian tersebut menjadi pakaian kebiasaan mereka.

Memakai pakaian berwarna hitam ketika pengebumian tidak menjadi pakaian keagamaan yang khusus untuk mana-mana agama. Memakai warna-warna tertentu berbeza-beza mengikut kepada uruf setempat. Justeru, ia tidak termasuk dalam larangan menyerupai agama lain sebagaimana sabda Nabi SAW:

“Siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kaum tersebut.” (Riwayat Abu Daud).

Hal ini kerana, bila mana suatu pakaian atau perbuatan itu tidak lagi jadi sesuatu yang khusus bagi bukan Islam atau orang yang fasiq, maka ia boleh berubah hukum menjadi harus. Syeikh al-Bujairami ketika menjelaskan tentang kain tailasan berkata:
“Pemakaian al-tiyalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan.

Selain itu, baginda SAW pernah memakai jubah dari Rom seperti diriwayatkan Mughirah bin Syu’bah RA bahawa bapanya berkata:

“Sesungguhnya Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang kedua tangan bajunya sempit.” (Riwayat al-Tirmizi).

Bagaimanapun, orang Islam diharamkan meratapi kematian dengan menampar pipi atau menjerit-jerit sebagai tanda tidak meredai ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Sabda Nabi SAW:

“Bukan dari kalangan umatku orang yang menampar pipi, mengoyakkan baju dan mengajak kepada seruan jahiliyah.”

Semua perbuatan yang seolah-olah menzahirkan perasaan hati tidak meredai dengan apa yang telah ditentukan Allah SWT hukumnya adalah haram.

Namun, jika pakaian hitam itu dipakai oleh wanita yang kematian suami, maka ia dibenarkan bahkan warna hitam adalah yang lebih baik bagi wanita yang sedang dalam iddah atau ihdad (berkabung) kerana dalam tempoh tersebut mereka dilarang untuk memakai pakaian yang mempunyai ciri-ciri perhiasan. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:

Bagaimanapun, ketika menjawab mengenai persoalan memakai pakaian hitam ketika majlis pengebumian Syeikh Atiyyah al-Saqar dalam fatwanya berkata:

“Kesimpulannya, tidak ada mana-mana nas agama sama ada dari al-Quran mahupun sunnah yang menyuruh untuk memakai pakaian hitam ketika berkabung sebaliknya, mereka yang hadir adalah dilarang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan suasana kesedihan dan ini kembali kepada adat.”

Sekalipun mengkhususkan warna pakaian tertentu seperti warna hitam atau apa-apa rona yang lain ketika berlaku kematian termasuk dalam bentuk ratapan menurut sebahagian ulama mazhab Syafi’i, namun uruf di Malaysia tidak anggap sedemikian. Oleh itu, hukum memakai pakaian warna hitam ketika majlis pengebumian adalah harus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI