KARTUN dan animasi yang ditayangkan di kaca televisyen di zaman kanak-kanak sememangnya akan melahirkan rasa obses terhadap figura alam fantasi sehingga ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk memenuhi keinginan diri.
Atas alasan itulah, seorang ibu kepada lima cahaya mata merealisasikan minatnya itu dan menjalankan bisnes membuat kek serta roti sebagai sumber pendapatan.
Noor Haziah Adam, 39, membina empayar perniagaan bakeri di Taman Tanjung Puteri, Pasir Gudang, Johor dengan menghasilkan kek dan roti berelemen figura anime antarabangsa dan kartun tempatan.
“Idea ini membuahkan hasil apabila berjaya menarik pembeli bukan sahaja dari sekitar Johor Bahru tetapi seluruh negara.
“Saya mempunyai asas membuat kek span kerana belajar daripada ibu iaitu Fuziah Abd. Majid, 63, manakala membuat roti pula saya belajar dalam kelas secara dalam talian.
“Saya meminati anime serta kartun dan banyak menghasilkan lukisan sejak zaman sekolah.
“Jadi, saya gabungkan dua minat tersebut sebelum memulakan perniagaan ini kira-kira dua tahun lalu,” katanya kepada K-Wanita.
Noor Haziah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) juga memberitahu, idea itu tidak datang terus sebaliknya selepas melakukan beberapa percubaan.
“Saya risau jika hanya menjual kek dan roti sahaja tidak mampu untuk menarik minat pelanggan membeli kerana sudah terdapat banyak perniagaan sedemikian.
“Oleh itu saya perlu lakukan sedikit kelainan, kemudian terfikir idea dekorasi seni yang mungkin dapat menarik pelanggan membeli produk saya. Dari situ timbul idea ini,” jelasnya.
Bagaimanapun, bukan semuanya mudah buat usahawan bertubuh kecil ini sebaliknya banyak pengorbanan telah dibuat sebelum mencapai tahap sedia ada.
Katanya, dia membuat keputusan menceburi bidang perniagaan selepas berhenti kerja sebagai eksekutif pentadbiran selama lima tahun kerana masalah kesihatan anaknya.
“Pada mulanya ada juga terima tentangan, namun saya nekad membuat keputusan ini kerana ketika itu anak kedua kerap demam, jadi saya perlu menjaganya di rumah.
“Oleh itu saya buat keputusan ambil tempahan kek, sebelum perniagaan ini dikembangkan selepas mengetengahkannya melalui media sosial seperti Facebook dan TikTok.
“Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan.
“Roti comel saya dijual pada harga bermula RM6 hingga RM8 bergantung kepada permintaan pelanggan terhadap dekorasi,” jelasnya.
Tambahnya, antara corak kartun dan anime yang dihasilkan termasuklah beruang, kucing, gajah, harimau, Upin Ipin, Didi, serta BoBoiBoy.