GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpandangan bahawa pemberian tol percuma sempena musim perayaan tidak sepatutnya diberikan secara menyeluruhkan kepada pengguna lebuh raya terutama golongan kaya.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, sebaliknya kerajaan perlu mengkaji lebih mendalam dengan memberi keutamaan kepada kumpulan tertentu iaitu B40 dan M40.
Menurutnya, pelaksanaan mekanisme khusus tersebut disifatkan sebagai adil untuk rakyat yang berpendapatan rendah yang kini berdepan dengan peningkatan kos sara hidup tinggi.
“Pemberian tol percuma tidak sepatutnya diberi kepada semua orang. Keputusan tersebut seharusnya dikaji secara lebih mendalam lagi. Sama ada diberi secara percuma atau diskaun, namun semestinya diberi keutamaan kepada golongan B40 dan M40.
“Kita tahu, budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia mahukan semuanya secara percuma tetapi tidak adil jika ia (tol percuma) dinikmati oleh golongan pendapatan tinggi, yang memiliki kenderaan-kenderaan mewah,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Beliau mengulas mengenai langkah kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan bermula tahun ini.
Hari ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, keputusan untuk menghentikan pemberian tol percuma pada musim perayaan boleh berubah dan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Katanya, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang dijangka diadakan esok.
Semalam, Kosmo! melaporkan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
menjelaskan dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini termasuk bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Beliau berkata, keputusan berkenaan yang diputuskan pada mesyuarat Kabinet tahun lalu bagaimanapun akan digantikan dengan pendekatan yang lebih bersasar. -KOSMO! ONLINE