fbpx

‘Takut kahwin bimbang tidak boleh beri komitmen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADELINE tidak pernah berasa sunyi atau cemburu melihat rakan rakan seusia sudah berkeluarga. – M. FIRDAUS M. JOHARI

BIARPUN usia telah mencecah angka 39 tahun pelakon Adeline Tsen mengakui masih tidak terfikir untuk mendirikan rumah tangga. Kata Adeline atau nama sebenarnya, Adeline Anthony Primus Tsen, belum bertemu dengan lelaki tepat antara punca masih membujang sehingga kini.

“Memang saya belum bersedia dan tidak terfikir untuk berkahwin. Jika sampai jodoh dan dipertemukan dengan orang yang sesuai, saya akan pertimbangkan. Memang saya ada orang istimewa (kekasih), namun masa depan tidak tahu bagaimana. Buat masa ini saya tidak merancang atau fikir soal perkahwinan,” tutur pelakon yang berasal dari Kota Belud, Sabah itu.

Sambung pelakon filem Pilot Cafe itu lagi, kesibukan kerja turut mencetuskan kerisauan untuk menumpahkan komitmen andai berumah tangga kelak.

“Saya takut hendak berkahwin kerana bimbang tidak boleh beri komitmen. Andai telah berkahwin, masing-masing perlu faham tugas sendiri selain perlu faham kerja saya.

“Hendak mencari yang memahami itu sukar. Perkahwinan bukan untuk tempoh sekejap tetapi komitmen sepanjang hayat. Jadi saya perlu memilih lelaki yang tepat,” ujar Adeline.

Ditebak, tidakkah berasa sunyi mahupun cemburu melihat rakan seusia sudah memiliki keluarga dan anak, jawab Adeline, keluarganya sendiri sudah cukup besar dan riuh.

“Pada usia ini walaupun tidak berkahwin, saya tidak rasa sunyi kerana memiliki 38 orang anak buah dan saya menjaga mereka sejak saya berusia lapan tahun.

“Adik-beradik kandung saya sahaja tujuh orang ditambah dengan adik-beradik angkat seramai tiga orang, menjadikan 10 orang keseluruhannya.

“Jadi, boleh bayangkan betapa riuh rendahnya kehidupan saya bersama keluarga yang begitu besar.

“Saya belum ada anak tetapi ramai anak buah, itu sudah memadai buat masa sekarang,” jelas Adeline yang ditemui pada majlis perkahwinan pelakon Sanjna Suri baru-baru ini.

Karier

Menyentuh tentang karier seni, akur wajahnya tidak kerap muncul menghiasi televisyen, namun tawaran lakonan masih ada seperti biasa.

Memilih untuk memberi fokus kepada filem, Adeline masih terbuka untuk menerima tawaran drama andai bertemu dengan karya yang menarik.

“Saya bermula dengan filem, jadi fokus saya memang filem. Tahun ini ada tiga buah filem saya akan ditayangkan antaranya, Giring yang penggambarannya dilakukan di kampung halaman saya di Sabah.

“Jika tidak berlakon dalam filem Giring saya sendiri tidak akan tahu banyak tempat menarik di Kota Belud.

“Saya juga baru selesai jalani penggambaran telefilem Direbus Tidak Empuk. Dalam karya ini saya menjadi mualaf, perlu memakai tudung dan banyak menangis. Wataknya menarik dan berbeza daripada apa yang pernah saya bawakan sebelum ini,” jelas Adeline.

Selain lakonan, Adeline juga juga seorang pempengaruh pelancongan kerap terbang ke luar negara atas komitmen kerja. Antara negara kegemarannya untuk dilawati adalah Thailand, Korea Selatan dan juga Jepun.

“Sebelum ini saya suka ke Eropah, tetapi sekarang saya tidak sukakan musim sejuk jadi lebih suka ke negara Asia. Apa pun saya saya bersyukur kerana kerjaya ini tidak hanya memberi bayaran lumayan tetapi juga memenuhi impian saya yang suka melancong sejak kecil,” luah Adeline.

Sungguh pun kerap ke luar negara, kata Adeline, Malaysia tetap di hatinya.

“Kerjaya seni dan rumah saya berada di Kuala Lumpur, jadi ke mana sahaja saya pergi saya tetap akan balik ke sini kerana Malaysia adalah rumah saya dan tempat saya mencari rezeki,” ujar Adeline.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI