IPOH – Lebih tiga juta kenderaan dijangka memasuki Perak melalui Lebuh Raya Utara-Selatan dan Jalan Persekutuan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak (MKJR) Perak, Datuk Nor Sham Rahman berkata, jumlah tersebut adalah anggaran pengguna jalan raya dari Tanjung Malim ke Parit Buntar.
“Jumlah itu tidak termasuk Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), ia hanya anggaran untuk Lebuh Raya Utara-Selatan dan Jalan Persekutuan sahaja.
“Peningkatan aliran trafik ini dijangka bermula pada 27 dan 28 Januari termasuk dua hari selepas perayaan iaitu Sabtu dan Ahad untuk pulang semula ke ibu kota,” katanya selepas melancarkan Program Selamat Di Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE