MELAKA – Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang bersama-sama rakannya di perairan Selat Melaka sekitar Pulau Undan sejak Rabu lalu dipercayai telah ditemui di Pulau Rupat, Indonesia, pagi tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pihak polis di negara itu bagi mengesahkan identiti mayat berkenaan.
Katanya, mayat itu ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap namun telah reput sepenuhnya, dipercayai dihanyutkan di laut antara tiga hingga empat hari berdasarkan proses pereputan tersebut.
“Kita telah menerima maklumat awal daripada pihak polis di Indonesia mengenai penemuan mayat reput seorang lelaki di pesisiran Pantai Rupat.
“Mayat tersebut dilaporkan lengkap berpakaian dan lesen memandu turut ditemui, namun maklumat ini belum matang dan siasatan lanjut sedang dilakukan bersama polis di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas bersama-sama dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang menyampaikan sumbangan kepada anggota bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Tol Ayer Keroh di sini, hari ini.
Turut dimuat naik adalah sekeping gambar lesen memandu atas penama Ahmad Norizan Mohamad dipercayai milik mangsa yang ditemui di pesisiran pantai di Indonesia.
Abdul Majid berkata, pengesahan identiti mangsa akan dilakukan oleh polis di Indonesia dan dijangka akan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu.
Mengulas lanjut mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi nelayan yang dilaporkan hilang bersama, beliau menjelaskan operasi itu telah dihentikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Bagi pencarian sepenuhnya, kita hanya tinggal separuh sahaja kerana operasi itu telah melebihi tempoh dibenarkan SOP iaitu tiga hari sahaja, jadi kita hanya menunggu maklumat lanjut daripada Indonesia.
“Bagaimanapun maklumat yang kita perolehi daripada pihak sana lebih tepat, kemudian kita akan putuskan sama ada akan meneruskan pencarian atau tidak,” katanya.
Katanya, mayat akan dibawa pulang sebaik sahaja siasatan selesai dilakukan oleh pihak berkuasa Indonesia.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua nelayan Ahmad Norizan Mohamad, 38, dan rakan Irwan Radjab, 47, hilang selepas keluar bersama-sama menangkap ikan di perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Undan, Rabu lalu.
Pada hari kedua SAR, pencarian kedua-dua mangsa diperluaskan meliputi 7.9 batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu ke Pulau Undan.
Berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai berada di sekitar perairan Pulau Undan dan pihak polis tidak menolak kemungkinan dua rakan itu mungkin dihanyutkan disebabkan masalah teknikal seperti kehabisan minyak dan sebagainya.
Bagaimanapun, semalam operasi SAR itu dihentikan kira-kira pukul 6 petang selepas pasukan pencari tidak menemui sebarang petunjuk walaupun sudah memasuki hari ketiga pencarian. -K! ONLINE