LUMUT – Feri Sri Tanjung 1 bakal beroperasi di Jeti Jabatan Kerja Raya (JKR) Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan pada Mac hadapan sekali gus menggantikan feri sedia.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, feri baharu jenis RoRo buatan tempatan itu diluncurkan hari ini ke laut untuk menjalani proses pengujian, latihan, dan seterusnya penghantaran ke jeti di Tumpat tersebut.
“Jangkaan tempoh pengujian ini ialah dari 24 Januari hingga 7 Februari depan, manakala tempoh Program Latihan Operasi dan Penyenggaran Feri ialah mulai 10 hingga 16 Februari diikuti dengan penghantaran feri RoRo Ke Pengkalan Kubor di Tumpat yang dijadualkan dari 17 hingga 22 Februari.
“Feri ini akan meneruskan tempoh penyesuaian dari 23 hingga 28 Februari depan sebelum dicadangkan untuk dirasmikan pada Mac ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan peluncuran Feri Sri Tanjong 1 yang menelan belanja RM8 juta dengan pembinaan selama 12 bulan bermula 1 Mac 2024 itu di limbungan Jicore Sdn. Bhd.
Feri Sri Tanjong 1 yang dihasilkan atas kerjasama Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR dan Syarikat Sumber Samudera Sdn. Bhd. itu akan menggantikan Feri Sri Tanjong yang sering mengalami kerosakan disebabkan faktor usia iaitu menjangkau 32 tahun.
Feri baharu sepanjang 33 meter itu mampu menampung sehingga 58 penumpang dan enam kru feri, lapan kenderaan ringan atau sebuah bas 44 penumpang atau empat buah lori lima tan atau dua buah lori 10 tan.
Menurut Ahmad, Feri Sri Tanjong 1 itu bakal memberi impak terhadap sektor pelancongan negara terutamanya hubungan Malaysia-Thailand selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Ia juga akan dimanfaatkan rakyat negara ini terutamanya warga Kelantan yang mempunyai urusan perniagaan, hubungan kekeluargaan atau melancong dari Pengkalan Kubor ke Tak Bai di Thailand,” katanya. – KOSMO! ONLINE