BALING – penduduk di Kupang, di sini kini boleh tidur lena apabila pemuda berusia 23 tahun yang disyaki membakar sembilan rumah di situ akhirnya berjaya ditahan polis.
Penduduk, Ahmad Osman, 49, berkata, dia dan penduduk lain terpaksa bersengkang mata selepas kejadian kebakaran bersiri itu berlaku sejak 24 Disember tahun lalu.
“Sepanjang saya hidup, ini kali pertama saya dengar ada kes kebakaran bersiri. Saya kasihan tengok mangsa yang tinggal sehelai sepinggang, bukan mudah nak bina rumah baharu sebab perlukan kos yang tinggi.
“Selepas beberapa kes kebakaran berlaku, penduduk syak ia ada kaitan dengan perbuatan khianat sebelum orang kampung buat rondaan keselamatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanah Periuk di Kupang, di sini hari ini.
Katanya, dia terkejut apabila mendapat tahu penduduk kampung yang tinggal berhampiran ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu.
“Suspek budak muda, berkawan juga dengan orang kampung di sini. Suspek dikatakan ada datang juga sewaktu penduduk buat rondaan, memang tidak sangka dia terlibat,” ujarnya sambil menyifatkan suspek seorang yang lurus,” ujarnya.
Penduduk, Ibrahim Ali, 59, berkata, dia juga berasa lega selepas mendapat tahu suspek telah diberkas.
“Rumah saya di Kampung Tanah Periuk musnah terbakar dipercayai akibat perbuatannya, diikuti sebuah lagi rumah terletak berhampiran pada hari sama iaitu 26 Disember lalu.
“Selepas dua rumah terbakar dalam selang masa yang dekat, orang kampung sudah rasa bimbang dan mula buat rondaan setiap masa. Saya juga boleh tidur lena kerana sebelum ini kerap terjaga bila terdengar bunyi bising,” tambahnya.
Kosmo! semalam melaporkan dendam akibat dibuli di tempat kerja disyaki menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar sembilan rumah di Kupang, Baling dekat sini sejak pertengahan bulan lalu hingga awal bulan ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek berusia 23 tahun yang merupakan penganggur dan penduduk di Kupang ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu.
“Kesemua sembilan kes khianat dengan api yang dilakukan suspek adalah berpunca daripada perasaan dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE