SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan rayuan seorang penyelia stesen minyak untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, tiga tahun lalu.
Peguam Datuk Sharif Mohamed yang mewakili tertuduh, Muhammad Safrul Hizami Azizul Rahman, 25, memaklumkan Hakim Datuk Rohani Ismail membacakan keputusan tersebut dalam kamar mahkamah.
Rohani turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM5,000.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman denda RM20,000 dan larangan memandu selama tiga tahun yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Majistret sebelum ini.
Menurut Sharif, mahkamah membenarkan rayuan berkenaan memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda.
“Mahkamah mengambil kira umurnya dan masa depannya.
“Hakim juga berpendapat hukuman penjara tidak sesuai dan tertuduh perlu diberi peluang lagi,” katanya.
Jelas Sharif, tertuduh dan keluarganya juga beberapa kali bertemu keluarga mangsa untuk memohon maaf. – KOSMO! ONLINE